Sujud para malaikat adalah kerana menghormati Nabi Adam a.s. dan
bukan menyembah — Iblis tidak mematuhi arahan Tuhan ini kerana merasa
dirinya besar dan mempunyai kelebihan berbanding manusia.
Imam Al-Maghari berkata di dalam tafsirnya, selepas Allah s.w.t.
mengkhabarkan kepada malaikat berhubung kedudukan Adam yang dijadikan
sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah memerintahkan mereka sujud
sebagai tanda hormat, bukan ibadat sebagai mengiktiraf kemuliaan Adam
dan sebagai pernyataan bersalah terhadap apa yang mereka katakan
sebelumnya.
Di antara keistimewaan Adam ialah kurniaan ilmu yang banyak, sehingga
melemahkan prestasi tahap capaian keilmuan maksimum Malaikat. Allah
menambahkan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan
kepada sekalian Malaikat supaya bersujud kepadaNya. Ini menambahkan
lagi tanda-tanda kemuliaan dan kelebihan pada makhluk bernama manusia
yang berasal daripada Adam a.s.
Ibn Jarir di dalam tafsirnya, At-Thabari berkata, seolah-olah ia
merupakan peringatan kepada kaum Yahudi yang mendiami Kota Suci Madinah
bersama Nabi s.a.w. Kepada mereka diberikan pelbagai nikmat dan
peringatan, sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat, sujudlah
kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka, kecuali iblis. Ia enggan dan
takbur, dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir. (Surah
al-Baqarah Ayat 34)
Allah menyebut, `Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para
Malaikat’. Iaitu, ingatlah wahai Muhammad, kepada kaummu, ketika Kami
berkata kepada Malaikat. Syeikh Abdur Rahman As-Sa’di berkata dalam
tafsirnya, Taisir Al-Karim, ayat ini mengandungi banyak pengajaran, di
antaranya ialah mengisbatkan kalam Allah.
Ibn Jauzi mentafsirkan di dalam kitabnya, Zad Al-Masir, bahawa
terdapat dua pendapat tentang Malaikat: Pertama, semua Malaikat. Inilah
pendapat As-Suddi daripada guru-gurunya. Kedua, mereka segolongan
daripada malaikat, seperti riwayat Ibn Abas, tetapi pendapat yang
pertama lagi sahih.
`Sujudlah kamu kepada Adam’. Iaitu sujud sebagai penghormatan dan
membesarkannya, bukan sujud untuk beribadat. As-Syaukani di dalam Fath
al-Qadir berkata, maksud sujud di sini ialah hina dan merendahkan diri,
dan kemuncaknya ialah meletakkan wajah di bumi. Inilah juga pendapat
Imam an-Nasafi di dalam tafsirnya yang menaqalkan pendapat jumhur ulama.
Terdapat dua pendapat berhubung sifat sujud para malaikat kepada
Adam: Pertama, iaitu seperti sifat sujud di dalam solat. Inilah pendapat
yang lebih zahir. Kedua, iaitu merendahkan kepala seumpama rukuk.
Al-Imam al-Fakhru ar-Razi di dalam kitab, Tafsir al-Kabir berkata, telah
ijmak sekalian orang Islam, bahawa sujud tersebut bukan sujud ibadat,
kerana sujud ibadat selain Allah boleh membawa kufur.
Al-’Allamah Thahir `Asyur melalui tafsirnya, At-Tahrir Wa At-Tanwir
berkata, sujud merupakan penghormatan pertama yang diterima oleh manusia
daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan
perkataan `lam’ yang bermaksud `bagi’ menunjukkan bahawa mereka
ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan ia merupakan asal penunjuk `lam
ta’lil’, iaitu apabila dikaitkan dengan maksud sujud.
Kemudian beliau menambah, pada ayat ini juga dapat dikeluarkan
permasalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan
kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut,
kerana ketika Allah mengajar kepada Adam ilmu-ilmu yang tidak dimiliki
oleh malaikat, ia menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan
penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya, dan pasti
akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam
ini.
`Maka sujudlah mereka, kecuali iblis’. maksudnya, lantas mereka iaitu
para malaikat semuanya sujud, kecuali iblis. Ulama menyebut,
pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat: Pertama, iaitu
pengecualian daripada jenis yang sama. Pendapat ini menggolongkan iblis
termasuk dalam kumpulan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas’ud dalam
satu riwayat dan Ibn Abas, kecuali Allah menukar rupanya menjadi
syaitan. Kedua, ia bukan jenis malaikat, tetapi jenis jin. Inilah
pendapat Al-Hasan Al-Basri dan Az-Zuhri.
Justeru itu, jadilah pengecualian ini sebagai pengecualian yang
terputus. Penulis menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat Al-Quran
yang lain, di dalam surah al-Kahfi ayat 50 maksudnya:
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat : Sujudlah
kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah
daripada golongan jin, maka ia menderhaka kepada perintah Tuhannya.
Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain
Aku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai
pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim.
Berhubung nama iblis, terdapat dua pandangan ulama, seperti yang
dinyatakan oleh al-Imam al-Mawardi di dalam kitabnya, an-Nukat Wa
al-’Uyun. Pertama, ia merupakan nama a’jam (bukan Arab). Inilah pendapat
Abu Ubaidah, iaitu Mu`ammar bin al-Musanna at-Taimi, az-Zajjaj dan Ibn
al-Anbari. Kedua, ia diambil daripada perkataan iblas, yang bermaksud
putus asa seperti riwayat Abi Soleh.
ni kerana, `Ia enggan dan takbur’, iaitu melanggar apa yang
diarahkan kepadanya. Syeikh Rashid Redha di dalam tafsirnya, al-Manar
berkata, iblis tidak mematuhi arahan Tuhan kerana merasa dirinya besar
dan mempunyai kelebihan berbanding manusia. Sifat takbur dan suka
menunjuk-nunjukkan sifat kesombongan ini, merupakan tanda-tanda perasaan
tinggi diri. Terdapat huruf `sin’ dan `ta’ pada permulaan kalimah
takbur, ia menunjukkan bahawa takbur bukanlah tabiat iblis, tetapi ia
mampu dan bersedia melakukannya.
0 komentar:
Posting Komentar